English|Bahasa Malaysia
Cetak laman ini
 
 
Pautan
  Senarai institusi perbankan
  Bank Negara Malaysia
  BNM LINK
  Info Insurans
  DuitSaku
  FMB
  AKPK
  Biro Kredit
  ABM
  PIDM

 
Jawapan yang anda cari-cari mungkin terdapat di dalam senarai soalan lazim kami.
Hanya klik topik yang berkenaan daripada senarai di bawah:
 
Soalan Lazim Pembiayaan Perumahan-i
 
    Berapakah harga rumah yang mampu saya beli?
    •  
      Ini bergantung kepada pendapatan dan komitmen kewangan anda yang lain. Mengikut amalan biasa, kebanyakan pembeli rumah membeli rumah yang berharga antara 1.5 hingga 2.5 kali pendapatan tahunan mereka. Sebagai contoh, jika seorang pembeli memperolehi pendapatan RM40,000 setahun, dia mungkin akan membeli rumah yang berharga antara RM60,000 hingga RM100,000. Di samping itu, bayaran ansuran bulanan seharusnya tidak melebihi 1/3 daripada pendapatan kasar bulanan anda. Dalam menilai keupayaan anda membuat pembayaran balik, institusi perbankan Islam juga akan mengambil kira pembayaran balik hutang anda yang lain seperti pembiayaan kereta, pembiayaan peribadi dan kad kredit.
       
    Berapakah jumlah pembiayaan yang boleh saya perolehi?
    •  
      Ini bergantung kepada nilai rumah anda, pendapatan anda dan keupayaan anda untuk membayar balik. Margin pembiayaan boleh menjangkau sehingga 95% (termasuk Takaful Gadai Janji). Semakin tinggi margin pembiayaan, semakin tinggi ansuran yang perlu anda bayar.
       
    Berapa lamakah permohonan pembiayaan diproses?
    •  
      Biasanya, masa yang diambil untuk meluluskan permohonan pembiayaan-i ialah antara satu hingga dua minggu daripada tarikh anda mengemukakan dokumen-dokumen yang lengkap. Anda perlu mendapatkan senarai semak dokumen daripada institusi perbankan Islam untuk mengelakkan sebarang kelewatan.
       
    Apakah perbezaan di antara pinjaman konvensional dan pembiayaan secara Islam?
    •  
      Pinjaman konvensional diberi atas dasar hubungan peminjam dan pemberi pinjam. Faedah akan dikenakan ke atas jumlah pinjaman. Kadar faedah ini mewakili kos institusi kewangan tersebut mendapat dana. Pembiayaan secara Islam mengamalkan konsep jual dan beli di mana institusi perbankan Islam membeli rumah tersebut dan kemudian menjualnya semula kepada anda pada harga jualan termasuk keuntungan, dengan dasar pembayaran tertangguh.
       
    Apakah kelebihan pembiayaan perumahan-i?
    •  
      Harga jualan rumah tersebut telah ditetapkan semasa memeterai kontrak
         

      Tiada kos tambahan atau tersembunyi yang akan mempengaruhi harga jualan
         
      Jumlah pembayaran tidak dipengaruhi oleh pergerakan kadar faedah
         

      Jumlah tertunggak tidak dikompaun dan ia memberi perancangan kewangan yang lebih baik
       
    Bolehkah orang bukan Islam memohon pembiayaan perumahan-i?
    •  
      Ya, kemudahan pembiayaan perumahan-i terbuka kepada orang bukan Islam.
       
    Kenapakah penilaian ke atas rumah diperlukan?
    •  
      Penilaian diperlukan jika anda membeli rumah yang telah siap. Institusi perbankan Islam memerlukan penilaian untuk menentukan sama ada harta berkenaan menyediakan nilai cagaran yang mencukupi untuk pembiayaan yang diberi. Ia juga menyediakan anggaran sama ada harta tersebut berpatutan dengan apa yang anda bayar.
       
    Perlukah saya melantik seorang peguam? Bolehkah saya memilih peguam saya sendiri?
    •  
      Ya. Anda perlu melantik seorang peguam untuk menyiapkan dokumentasi pembiayaan anda. Biasanya, institusi perbankan Islam akan mengajukan senarai panel peguam yang sudah biasa dengan segala keperluan dokumentasi mereka untuk anda membuat pilihan. Jika anda ingin memilih peguam sendiri, anda perlu berbincang dengan institusi perbankan Islam berkenaan.
       
    Siapakah yang membayar yuran guaman?
    •  
      Secara amnya, yuran guaman akan dibayar oleh pembeli. Walau bagaimanapun, terdapat pemaju dan institusi perbankan Islam yang menawarkan yuran guaman percuma sebagai sebahagian daripada pakej pemasaran mereka. Di samping itu, ada juga institusi perbankan Islam yang menawarkan pembiayaan yuran dokumentasi.
       

    Apakah yang akan terjadi sekiranya saya menghadapi masalah kewangan dan gagal membayar balik pembiayaan?
    •  
      Sekiranya ini berlaku, anda perlu menghubungi institusi perbankan Islam anda untuk berbincang dan merumuskan skim pembayaran balik yang sesuai, termasuk langkah memanjangkan tempoh pembiayaan anda, dengan syarat jumlah pembiayaan belum jelas masih dalam lingkungan harga jualan.
       

    Mengapakah baki pembiayaan belum jelas masih tinggi di peringkat awal tempoh pembiayaan walaupun ansuran bulanan telah dibayar?
    •  
      Pada tahun-tahun awal pembiayaan, sebahagian besar ansuran disalurkan untuk pembayaran keuntungan institusi perbankan Islam. Jika anda membuat pra-pembayaran untuk mengurangkan jumlah pembiayaan pokok, anda dapat menjimatkan pembayaran keuntungan institusi perbankan Islam.
       
    Bolehkah saya membayar ansuran melebihi jumlah ansuran bulanan?
    •  
      Ini bergantung kepada syarat-syarat seperti yang terkandung dalam perjanjian pembiayaan anda. Dengan membayar lebih pada setiap bulan, anda boleh mempercepatkan proses membayar balik pembiayaan. Apabila anda membuat pembayaran lebih, pastikan bahawa institusi perbankan Islam berkenaan dimaklumkan bahawa bayaran tambahan tersebut ialah untuk mengurangkan pembiayaan pokok. Walau bagaimanapun, jika anda membayar balik pembiayaan sepenuhnya sekali gus atau membayar balik sebahagian daripada pembiayaan, anda dikehendaki memberi notis kepada institusi perbankan Islam. Tempoh notis biasanya ialah antara 1 hingga 3 bulan.
       
    Adakah saya memerlukan penjamin?
    •  
      Ini bergantung kepada budi bicara institusi perbankan Islam dan kedudukan kredit anda.
       

    Adakah institusi perbankan Islam berhak untuk mengenakan caj pelbagai ke atas akaun pembiayaan saya seperti caj bayaran lewat, kos guaman, takaful dan sebagainya?
    •  
      Hak institusi perbankan Islam mengenakan caj tersebut ialah seperti dinyatakan dalam terma dan syarat pembiayaan.
       
    Berapa lamakah tempoh tangguh (grace period) untuk membayar ansuran bulanan/keuntungan?
    •  
      Secara amnya, institusi perbankan Islam membenarkan tempoh tangguh antara 7 hingga 14 hari untuk anda membayar ansuran. Bayaran yang diterima selepas tempoh tangguh tersebut mungkin akan dikenakan denda bayaran lewat.
       

    Bilakah institusi perbankan Islam melepaskan pembiayaan kepada pemaju?
    •  
      Bagi rumah yang dalam pembinaan, bayaran progresif akan dikeluarkan kepada pemaju apabila siap setiap peringkat pembinaan seperti yang diakui oleh Sijil Perakuan Arkitek. Untuk rumah yang telah siap, bayaran akan dikeluarkan apabila proses dokumentasi lengkap atau kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan diperolehi, seperti kelulusan daripada Kerajaan Negeri.
       

    Bolehkah saya membeli rumah secara bersama tetapi pembiayaan perumahan-i dipohon atas nama saya sahaja?
    •  
      Institusi perbankan Islam akan mempertimbangkan permohonan anda berdasarkan merit setiap permohonan, dalam keadaan berikut:
       

      Institusi perbankan Islam akan mempertimbangkan permohonan anda berdasarkan merit setiap permohonan, dalam keadaan berikut:
         

      Pemilik bersama adalah pasangan suami isteri, dan salah seorang daripada mereka tidak bekerja dan yang seorang lagi bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pembiayaan

      Pemilik bersama mempunyai hubungan kekeluargaan seperti antara anak dengan ayah/ibu, dan kedua ibu bapa tidak bekerja dan si anak bertanggungjawab ke atas pembiayaan tersebut
       
      Walau bagaimanapun, peraturan di atas terpulang kepada budi bicara institusi perbankan Islam dan mereka juga boleh mempertimbangkan keadaan-keadaan lain.
       

    Jika projek perumahan tersebut terbengkalai, adakah saya perlu menjelaskan keuntungan/ansuran bulanan?
    •  
      Ya. Anda masih bertanggungjawab membayar balik pembiayaan berdasarkan kepada perjanjian pembiayaan yang ditandatangani antara anda dan institusi perbankan Islam. Walau bagaimanapun, memandangkan institusi perbankan Islam mempunyai kepentingan ke atas harta tersebut, anda perlu membincangkan cadangan pembayaran balik dengan mereka. Anda juga patut melaporkan perkara ini kepada Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan dan Persatuan Pembeli Rumah.
       
    Apakah akan berlaku apabila pembiayaan telah dijelaskan sepenuhnya?
    •  
      Bila pembiayaan telah dijelaskan sepenuhnya, institusi perbankan Islam tersebut akan melepaskan cagaran ke atas rumah tersebut.
       
    Apakah akan berlaku sekiranya saya meninggal dunia dan tidak mengambil perlindungan takaful gadai janji?
    •  
      Waris atau ahli keluarga terdekat anda boleh membuat pilihan sama ada untuk meneruskan pembayaran pembiayaan atau menebusnya. Walau bagaimanapun, kebanyakan institusi perbankan Islam mewajibkan anda mendapatkan perlindungan takaful gadai janji untuk memberi perlindungan kewangan sekiranya keadaan ini berlaku.
       
    Apakah tindakan yang boleh diambil oleh institusi perbankan Islam jika saya gagal membuat pembayaran?
    •  
      Sekiranya anda gagal membuat pembayaran ansuran sebanyak 3 kali berturut-turut, institusi perbankan Islam akan mengambil langkah sewajarnya untuk menarik balik kemudahan pembiayaan tersebut. Berdasarkan keadaan paling buruk, institusi perbankan Islam akan merampas rumah tersebut untuk dilelong bagi menyelesaikan baki pembiayaan. Jika masih tidak mencukupi, anda perlu membayar perbezaan di antara harga lelong dan baki pembiayaan tersebut.
       
    Apakah cara paling mudah untuk saya membuat pembayaran ke atas pembiayaan saya?
    •  
      Terdapat pelbagai rangkaian perkhidmatan ditawarkan bagi memudahkan urusan pembayara. Antara kaedah alternatif untuk membuat pembayaran pembiayaan ialah:
       

      Membuka akaun tabungan/semasa dan mengeluarkan arahan pindahan tetap pada kadar fi yang minimum (dikecualikan jika anda menyimpan deposit dan membuat pembiayaan di institusi yang sama)
         
      Melalui pemindahan ATM
         
      Perbankan Internet
         
      Khidmat perbankan telefon
         

      Mendeposit cek di mesin automatik atau menghantar cek secara terus kepada institusi perbankan Islam
       

    Wajarkah saya mempertimbangkan membiayai semula pembiayaan perumahanan-i saya jika saya ditawarkan kadar keuntungan institusi perbankan Islam yang lebih rendah?
    •  
      Perkara utama yang perlu dipertimbangkan ialah kos yang terbabit. Seperti yang anda sedia maklum, anda telah membelanjakan jumlah yang besar untuk pinjaman pertama anda. Sebagai contoh, anda perlu membayar yuran pemprosesan, yuran guaman, fi setem dan yuran perpindahan hak milik. Pembiayaan semula bermakna anda perlu menanggung caj-caj yang sama sekali lagi. Sebelum anda membuat keputusan untuk membiayai semula rumah anda, anda perlu memastikan bahawa penjimatan daripada kadar keuntungan institusi perbankan Islam yang rendah mencukupi untuk mengatasi keseluruhan kos yang berkaitan dengan pembiayaan semula, termasuk caj penalti, jika ada.
       
    Bolehkan pinjaman perumahan konvensional saya ditukarkan kepada pembiayaan perumahan-i?
    •  
      Ya, dengan menyediakan dokumen-dokumen guaman yang baru untuk pembiayaan perumahan-i.
       
    Adakah saya layak untuk mendapatkan rebet bagi penebusan awal?
    •  
      Institusi perbankan Islam, atas budi bicaranya, boleh memberi rebet (ibra') bagi keuntungan yang belum diperoleh. Rebet yang diberikan ialah dalam bentuk pengurangan jumlah harga jualan belum jelas.
       
 
Maklumat Berkaitan

Pembiayaan perumahan-i
 
Saya Mahu...

Muat turun buku panduan pembiayaan perumahan-i

Emel laman ini kepada teman

Tanda pilih laman ini

Hantar maklum balas mengenai laman ini